Monday, February 14, 2011

MACAM MANA CARA “BUJANG BERANI” BALIK KE RUMAH PANJANG

Selepas itu orang yang dalam rumah panjang terus menyediakan satu dulang besar yang diperbuat daripada kayu keras, seperti kayu belian atau kayu jati yang mana dulang tersebut adalah digunakan oleh kaum wanita untuk mewarnakan benang untuk menenun “Pua Kumbu” iaitu kain tenunan suku kaum Dayak Iban. Dulang tersebut akan ditempatkan di atas tangga rumah panjang tersebut. Didalam dulang itu juga disimpan batu yang digunakan oleh kaum wanita semasa mereka mandi di sungai untuk membuang kekotoran yang melekat dibadan. Sebiji batu “Pelaga” iaitu batu yang digunakan oleh suku kaum Dayak Iban membuat perhiasan wanita zaman dahulu dan ia juga disimpan air kira satu pertiga didalam dulang tersebut.
Maksud menyimpan batu didalam dulang itu ialah supaya membayangkan roh semua pahlawan perang yang balik “Ngayau” itu akan bersih daripada sial atau semua perkara yang buruk. Maksud batu “Pelaga” itu ialah supaya masa hadapan pahlawan perang itu akan bertambah baik dan ibaratkan kilauan cahaya batu “Pelaga” tersebut. Maksud air didalam dulang itu ialah supaya ia membersihkan segala dosa yang telah mereka lakukan dan mereka akan tinggal dengan aman damai, dan maksud semua barang itu mesti dimasukkan didalam dulang yang digunakan untuk membuat benang tenunan ialah supaya semangat dan roh pahlawan perang itu diibaratkan seperti mati dilahirkan semula selepas peristiwa itu.
Semua isteri “Bujang Berani” terus diminta berkumpul di hadapan pintu utama rumah panjang supaya mereka menyambut kepala musuh yang baru diperolehi oleh suami mereka dalam espedisi “Ngayau” itu menggunakan pinggan ceramik yang boleh memuatkan kepala musuh atau menggunakan nyiru sekiranya kepala musuh itu lebih daripada sebiji dan badan mereka diselindungi dengan “Pua Kumbu” supaya kepala musuh itu boleh dibawa masuk ke dalam rumah panjang tersebut. Tujuan mereka berbuat demikian ialah supaya suami mereka akan terus mendapat kepala musuh didalam espedisi “Ngayau” yang akan datang dan juga si isteri tersebut akan dipanjangkan umur dan sihat selamanya dan juga mereka akan menjadi orang yang terkenal kerana keberanian suami mereka dalam espedisi “Ngayau” yang telah dilakukan itu.
Orang lain yang tinggal dirumah panjang tersebut juga akan terus memulakan pukulan gendang tradisional suku kaum Dayak Iban yang dikenali sebagai “Gendang Rayah”, iaitu sejenis bunyi gendang yang digunakan oleh suku kaum Dayak Iban untuk memanggil dewa atau tuhan yang mereka puja supaya datang ke rumah panjang tersebut bersama-sama menyaksikan upacara keramaian yang mereka lakukan.
Selepas selesai pukulan “Gendang Rayah” selama tujuh kali berturut-turut, maka ia juga akan disusuli dengan pukulan “Gendang Ajat”, iaitu gendang biasa untuk tarian “Ngajat” oleh suku kaum Dayak Iban. Sebelum mereka masuk ke dalam rumah panjang, mereka harus terlebih dahulu beteriak dengan kuat sekali secara habis-habisan yang dinamakan “Mangka Ka Selaing” sebanyak tujuh kali berturut-turut. Selepas mereka selesai “Mangka Ka Selaing” barulah mereka dibenarkan masuk ke dalam rumah panjang tersebut dan seterusnya semua orang yang melalui pintu utama rumah panjang itu akan memasukkan tapak kaki mereka didalam dulang yang berisi batu, batu “Pelaga” dan air yang telah disediakan.
Setelah memasukkan tapak kaki didalam dulang tersebut, maka semua “Bujang Berani” terus menyepak kepala tangga (kerana pada zaman dahulu tangga rumah panjang suku kaum Dayak Iban ialah diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang dibuat gigi dijadikan tangga) dan sebab mereka mesti menyepak kepala tangga itu ialah dengan doa agar mereka dipanjangkan umur dan tidak mudah dimakan sumpah atau badi daripada kepala musuh yang mereka baru perolehi dalam espedisi “Ngayau” itu.
Apabila mereka masuk ke dalam rumah panjang tersebut, semua “Bujang Berani” terus mengayakan tarian yang dinamakan “Berayah”, iaitu tarian khas untuk pahlawan perang yang telah berjaya memenggal kepala musuh dan seterusnya mereka juga akan menarikan tarian “Ngajat”. Sementara itu kaum isteri yang membawa bersama mereka kepala musuh akan mengayakan tarian khas yang dinamakan “Naku Antu Pala” iaitu tarian  untuk membawa kepala musuh berjalan didalam rumah panjang, iaitu berjalan selangkah dua dan seterusnya berpusing ke kiri dan kekanan sambil menyebut perkataan “Uha.. Ha.. Hoi…Oi” sepanjang malam tersebut sehingga pagi mengikuti aturcara majlis.
Semua penduduk rumah panjang tersebut terus merayakan upacara keramaian tanda kesyukuran ke atas kejayaan “Bujang Berani” itu balik daripada espedisi “Ngayau”. Semua pahlawan perang yang terlibat dalam espedisi “Ngayau” itu terus berkumpul di ruang tamu “Tuai Kayau” dan seterusnya dihayunkan ayam diatas kepala mereka oleh “Tuai Kayau” sambil mendoakan mereka akan selamat sejahtera sepanjang hayat nanti. Ayam itu terus disembelih oleh “Tuai Kayau” dan kemudian darah ayam itu disapu pada bulu ayam sereta dicecah didahi semua pahlawan perang tersebut dan juga diatas kepala musuh yang telah dipenggal yang mereka bawa bersama, supaya roh kepala musuh itu tidak menggangu kehidupan mereka di masa akan datang atau membawa sial kepada mereka yang tinggal di rumah panjang tersebut. Kepala musuh it terus disalai oleh mereka diatas satu dulang khas yang dipanggil “Bedilang” iaitu tempat yang dijadikan dapur sebagai tempat mereka membakar kayu untk menyalai kepala musuh itu. Tempat mereka menyalai kepala musuh itu ialah di ruang tamu “Tuai Kayau” yang dipanggil “Tampun”, iaitu dimana kepala musuh itu dikumpulkan dan diikat rapi dengan rotan.
Selepas selesai upacara tersebut maka penduduk rumah panjang akan mengadakan satu
lagi upacara keramaian yang dinamakan “Gawai Sandau Ari” yang bermaksud pesta keramaian sebagai doa selamat kepada semua pahlawan perang yang berjaya dalam espedisi “Ngayau” itu. Selepas upacara keramaian itu, ia terus disusuli dengan satu lagi upacara keramaian yang lain, yang dikenali sebagai “Gawai Enchaboh Arong” yang
bermaksud mereka membuang sial selepas espedisi “Ngayau” itu.
Semasa upacara tersebut mereka akan melakukan tarian “Ngajat” mengelilingi satu pokok yang mereka namakan “Ranyai” iaitu pokok yang diletakkan ditengah-tengah ruang tamu dan didahan pokok tersebut digantungkan kepala musuh yang baru mereka perolehi. Sementara itu “Lemambang” yang terpilih akan menyanyikan bahtera tradisional suku kaum Dayak Iban yang dinamakan “Renong” , “Mengap” dan seterusnya “Nimang Jalong” mengelilingi “Ranyai” tersebut. “Nimang Jalong” ialah dimana air tuak disimpan didalam satu mangkok seramik dan dibaca dengan bahtera sumpah serapah khas untuk “Bujang Berani” yang mana jika mereka membohongi mengatakan mereka telah membunuh musuh, maka mereka akan mati akibat termakan sumpah-serapah oleh “Lemambang” yang membaca “Timang Jalong” itu. Dan “Bujang Berani” yang telah meminum air tuak yang telah dibaca itu yang dikenali sebagai “Ai Jalong Timang” akan diberi gelaran khas oleh “Lemambang” tersebut mengikut cerita bagaimana mereka berjaya membunuh musuh mereka dalam espedisi “Ngayau” itu, dan mulai dari itu pahlawan perang itu akan dipanggil “Bujang Berani”.
Ada juga pahlawan perang suku kaum Dayak Iban melakukan espedisi “Ngayau” dengan atur cara yang dinamakan “Bejalai Ka Bungai Jarau”, yang bermaksud meminta bantuan daripada semua sahabat handai atau sanak saudara yang sudi membantu mereka untuk membalas dendam ke atas musuh yang telah menyerang rumah panjang mereka atau membunuh saudara mereka dengan bantuan seberapa segera yang boleh.
Mereka yang melakukan espedisi “Ngayau” sebegini dengan seberapa segera memohon bantuan daripada pihak luar dengan melantik beberapa orang lelaki yang terpilih di rumah panjang berkenaan dengan membawa bersama nya satu mangkok seramik yang berisi darah dan bulu ayam. Tujuan lelaki yang terpilih tersebut membawa mangkok yang berisi bulu dan darah ayam itu ialah menandakan bahawa rumah panjang mereka telah mendapat mala petaka yang cukup menyusahkan akibat serangan musuh dan mereka memohon bantuan dengan kadar segera untuk membalas dendam ke atas kematian saudara mereka yang mati dibunuh dan menandakan ia adalah berita gemparan am.
Setelah saudara mara atau sahabat handai mereka dari rumah panjang lain menerima “Bungai Jarau” tersebut, maka mereka juga akan berbuat demikian dengan cara sambung menyambung berita gemparan tersebut dengan menyerahkan “Bungai Jarau” itu kepada satu sama lain, menuju rumah panjang yang berada di kawasan berdekatan. Setelah rumah panjang lain mendapat berita gemparan itu, mereka pun pergi dengan seberapa segera ke rumah panjang dari mana datang nya “Bungai Jarau” berkenaan untuk memberi bantuan kecemasan kerana hendak tahu apa masalah yang sebenarnya telah belaku menimpa penduduk rumah panjang itu dan apa jenis bantuan yang patut mereka lakukan kemudian.
Apabila semua orang telah sampai di rumah panjang yang memerlukan bantuan itu maka satu mesyuarat tergempar ditubuhkan oleh seseorang yang telah dilantik dan seterusnya dia menjadi “Ketuai Kayau” dalam espedisi “Ngayau” itu. Mereka terus memilih sesiapa pahlawan perang yang sesuai untuk menyertai espedisi “Ngayau” itu. Dan mereka yang terpilih akan menyertai espedisi “Ngayau” ini mengikuti cara aturan dalam “Kayau Serang”, iaitu “Ngayau” secara besar-besaran untuk membalas dendam. Maka cerita “Ngayau” menggunakan aturan “Bejalai Ka Bungai Jarau” ini saya dapati daripada kenalan saya yang berbangsa Dayak Memaloh dari daerah Putus Sibau, Kalimantan Barat, Indonesia iaitu dimana dia terlibat secara langsung dalam espedisi “Ngayau” membantu suku kaum Dayak Sanggau menentang suku kaum Madura di daerah Sampit, Kalimantan Barat pada tahun 1996 yang lalu.
Lain-lain suku kaum Dayak di Borneo yang ada melakukan espedisi “Ngayau” ini ialah daripada suku kaum Dayak Ngau, Dayak Maanyan, Dayak Meratus, Dayak Kahayan, Dayak Mengayau, Dayak Kenyah, dan suku kaum Dayak yang cukup terkenal dan terbilang melakukan espedisi “Ngayau” ini dalam sejarah ialah suku kaum Dayak Iban dari nengri Sarawak, Malaysia.
Espedisi “Ngayau” ini telah diharamkan oleh kerajaan di Indonesia semasa pemerintahan Belanda yang dikenali sebagai “Perjanjian Tumbang Anoi” di daerah Damang Batu pada tahun 1874. Begitu juga apa yang berlaku di Sarawak, dimana espedisi “Ngayau” diberhentikan oleh Kerajaan Nengri Sarawak yang diperintah oleh Raja Vyner Brooke pada tahun 1932 setelah kerajaan melancarkan espedisi “Ngayau” secara besar-besaran menentang suku kaum Dayak Iban yang dikenali sebagai “Kayau Delok” di Ulu Batang Ai, Lubok Antu yang mana suku kaum Dayak Iban diketuai oleh “Tuai Kayau” bernama Asun, Kana dan Kendawang seperti apa yang ditulis oleh mendiang Benedict Sandin dalam buku yang berjudul “Peturun Iban” dalam tahun 1962.

No comments:

Post a Comment